Reviu #1: Rubiyah Ghavs, Guru Adjung dan Penulis Cerpen
SERONOK. Itulah perasaan yang saya rasakan sewaktu membaca buku ‘Sahabat Hebat: Rahsia Haiwan Hibrid’ yang dipenakan oleh penulis tempatan Singapura. Beliau tidak memerlukan sebarang perkenalan iaitu Puan Maria Mahat. Meskipun buku ini untuk kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas, tidak menjadi masalah untuk orang dewasa atau yang sudah terlebih tua seperti saya untuk membacanya. Secara peribadi, setiap penulisan yang menarik harus mewujudkan elemen keseronokan ini TERLEBIH DAHULU di dalam hati para pembacanya.
Keseronokan itu timbul kerana jalan cerita yang direka dengan teliti serta kemas. Setiap bab terkait dengan peristiwa-peristiwa yang dapat terus memancing minat pembaca. Bermula secara kronologi, watak utama Aidan dengan dua orang sahabatnya, Norman dan Zelda digerakkan dalam penceritaan. Naik turun cerita iaitu konflik, klimaks dan unsur suspens yang dihadirkan itu begitu mendebarkan sehingga menjadi semberani yang menarik perhatian. Bertiitik tolak daripada objek misteri yang penuh ajaib iaitu tulang dinosaur yang menjadi spesimen untuk tugasan projek, tiga sahabat ini telah dibawa untuk meneroka ke dalam suatu dunia haiwan hibrid yang tidak dijangkau oleh akal yang logik.
Keindahan sesuatu hasil penulisan harus juga dapat menunjukkan penggunaan bahasa yang berkesan, sesuai untuk sasaran pembacanya dan mudah untuk difahami. Memandangkan sasaran pembaca ialah golongan kanak-kanak berusia 10 tahun ke atas, maka penulis memanfaatkan struktur ayat-ayat yang tersusun dan gramatis. Setiap idea dalam ayat itu jelas dan mudah digarap. Terlihat akan penggunaan pemerian yang padat serta berjaya untuk menambahkan elemen visual dalam minda pembaca. Di samping itu, terserlah akan penggunaan kosa kata yang pelbagai. Terasa akan tujuan penulis untuk menjadikan buku ini sebagai inspirasi kepada generasi kanak-kanak agar terdorong sama untuk menulis ayat-ayat yang baik dalam Bahasa Melayu.
Kreativiti yang terancang rapi. Unsur informasi yang berat secara saintifik serta isu-isu penting tentang kehidupan disulamkan dalam cerita dengan santai menerusi dialog watak-watak dalam cerita. Oleh yang demikian, mudah untuk diterima dan dihadam oleh pembaca muda. Tercuit hati ketika membaca dialog berikut:
(Bab 2: Hibrid, Mitos?Wujud?Pupus? ms 6-7)
“Lihat sampel fosil ini, fuyoh!” Aidan membuka bekas plastik tadi…
Norman berkata, “Ini bukan tulang betul!”
“Mestilah tak betul. Lagipun, mana boleh dapat fosil dinosaur yang betul! Apadah!”
Di samping itu, penulis juga membawa pembaca untuk melihat perbandingan di antara ciri-ciri haiwan mitos. Secara santai, pembaca dibawa untuk merenung seketika serta berfikir secara kritis akan sesuatu maklumat yang dipaparkan. Di situlah terletak akan kekuatan penulis. Memudahkan sesuatu maklumat yang berat agar senang diterima serta difahami. Maklumat tersebut tidak disuapkan secara paksaan. Sebaliknya secara bersahaja dan halus.
Kepengaruhan. Tidak boleh tidak, setiap kepertukangan penulisan akan mengajak pembacanya untuk memikirkan tentang isu-isu kehidupan serta mengedepankan nilai-nilai yang boleh diamalkan dalam kehidupan seseorang. Buku yang baik akan mempengaruhi minda pembaca ke arah kebaikan. Begitu juga dengan buku ini. Nilai-nilai seperti erti persahabatan yang sebenar. Kadang-kala dalam sesuatu hubungan persahabatan akan wujud pertelingkahan. Namun, yang lebih penting adalah bagaimana seseorang itu menangani sesuatu pergeseran dalam perhubungan. Meskipun berselisih faham, sahabat yang baik akan saling menyokong serta bekerjasama. Selain itu, buku ini juga mengedepankan kepentingan untuk seseorang menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam menjalani kehidupan. Setiap daripada kita mempunyai peranan yang perlu dimainkan dalam masyarakat. Tidak kira sama ada yang muda mahupun yang dewasa. Kanak-kanak yang berumur 10 tahun juga mampu untuk melakukan sesuatu perubahan dalam masyarakat dan menjadi wira untuk memperjuangkan kebenaran. Misalnya, dalam cerita ini, Aidan, Norman dan Zelda telah berusaha untuk menyekat sindiket haram yang ingin mengambil kesempatan daripada penjualan haiwan-haiwan yang hampir pupus. Pada waktu yang sama, keberlangsungan kehidupan manusia di dunia ini tidak akan wujud dengan penuh bermakna tanpa pelestarian dan pemeliharaan alam serta makhluk-makhluk lain penciptaan Tuhan. Makhluk-makhluk yang lain seperti haiwan, unggas dan tumbuh-tumbuhan berhak untuk terus hidup dan mengimbangkan ekosistem di bumi ini.
Kualiti grafik yang sesuai menambahkan visual untuk penceritaan. Sekali lagi menjadi daya tarikan untuk pembaca muda melihat-lihat dan terus terdorong untuk membaca sehingga selesai. Di samping itu, font huruf yang digunakan dalam buku ini juga menjadikan mudah untuk dibaca. Buku cerita ini terdapat dalam bentuk e-book dan salinan naskhah. Namun, saya mendapati agak mudah untuk membaca salinan e-book. Apabila saya ‘swipe’ dan ‘flip’ muka surat e-book, saya terasa seperti membaca buku salinan ‘hardcopy’. Secara jujur, buku Sahabat Hebat: Rahsia Haiwan Hibrid patut dikembangkan lagi untuk menjadi sebuah komik kanak-kanak.
Seperti yang saya katakan di atas , penulisan yang baik akan sekaligus mengajak pembacanya untuk berfikir dan membuat renungan. Hampir sepanjang hari, perkataan ‘hibrid’ bermain-main di minda saya. Buku ini memperkatakan tentang haiwan hibrid iaitu watak ‘Bubu’ yang terhasil daripada gabungan dinosaur, unicorn dan naga. Namun, saya pula asyik berfikir tentang budaya dan bahasa Melayu yang bersifat ‘hibrid’ juga. Betapa orang-orang Melayu di Singapura ini juga bersifat dan bersikap ‘hibrid’. Keunikan orang Melayu Singapura terletak pada hibrid gabungan di antara unsur moden, tradisional dan pengaruh-pengaruh daripada budaya lain di dunia ini. Separuh kemelayuan, satu pertiga keinggerisan, satu pertiga pengaruh Korea, satu pertiga pengaruh Arab dan banyak lagi. Ciri-ciri sedemikan menjadikan saya bangga menjadi orang Melayu Singapura. Sama ada Melayu hibrid atau Melayu tulen, yang penting tidak akan hilang Melayu di dunia ini!
Reviu #2: Zulhafiz Zainal, Guru Sekolah Menengah dan Penerima Anugerah AGAB 2021
Sebagai seorang guru yang mengajar di peringkat sekolah menengah, sejujurnya memang sukar untuk saya mencari bahan bacaan yang sesuai untuk para pelajar saya, terutama sekali bahan bacaan yang berbentuk novel remaja. Walaupun ada buku-buku di pasaran yang dianggap sesuai bagi peringkat remaja, namun apabila saya minta pelajar saya untuk membaca buku-buku tersebut, ada sahaja alasan yang mereka berikan. Antara temanya kurang relevan bagi remaja, bahasanya terlalu sukar difahami, gambarnya kurang menarik dan lain-lain lagi. Memang susah untuk meminta pelajar zaman kini untuk membaca.
Lantas, apabila saya membaca buku ‘Sahabat Hebat: Rahsia Haiwan Hibrid’ yang ditulis oleh Puan Maria Mahat, saya berasa sungguh teruja dan gembira. Walaupun buku ini dikatakan untuk kanak-kanak berusia sepuluh tahun ke atas, sebagai seorang yang dewasa saya berasa sangat seronok membaca novel ini. Oleh yang demikian, saya pun yakin bahawa novel ini dapat menepati ciri-ciri sebuah bahan bacaan yang sesuai buat para pelajar saya.
Pertama, novel ini mempunyai latar dan tema yang relevan dengan konteks kehidupan kanak-kanak di Singapura. Cerita ini berkisarkan sekumpulan pelajar sekolah rendah (Aidan, Norman dan Zelda) yang bekerjasama untuk menghasilkan sebuah projek. Tempat-tempat yang dinamakan dalam cerita ini pula berdasarkan tempat-tempat di Singapura seperti Munshi Abdullah Avenue, Changi dan lain-lain lagi. Tema-tema yang dijelmakan juga merupakan tema yang dekat pada hati pembaca muda seperti tema persahabatan, keluarga dan alam imaginasi. Lantas, oleh kerana konteksnya sangat sesuai dengan kehidupan seorang pelajar tempatan, sudah pasti buku ini boleh mendorong para pelajar untuk terus membacanya tanpa menjadi bosan.
Jalan cerita yang direka dalam buku ini pula amat menambat hati saya sebagai seorang pembaca kerana dalam setiap bab, penulis mampu mengetengahkan peristiwa-peristiwa sesuai yang dapat menarik minat pembaca untuk terus membaca cerita ini. Pada awal cerita ini, saya anggapkan bahawa cerita ini hanya akan mempunyai satu unsur putar belit plot atau ‘plot twist’ selain mengikut struktur penulisan cerita naratif yang umum (pengenalan, konflik, klimaks, peleraian, penutup). Namun, saya cukup terhibur sewaktu proses membaca buku ini kerana nyata-nyata, elemen suspens dan putar belit plot datang tanpa diduga beberapa kali, sehingga saya tertanya-tanya, siapakah watak yang boleh dipercayakan dan siapakah watak yang sebenarnya antagonis dalam cerita ini?
Selain itu, satu elemen penulisan berkaitan dengan jalan cerita yang mesti saya tabik merupakan usaha Puan Maria sebagai penulis untuk membuat kajiannya yang peribadi sebelum menulis cerita ini. Novel ini tertumpu terhadap elemen fiksyen sains serta tamadun, lantas kajian yang mendalam perlulah dilakukan terlebih dahulu agar maklumat yang diberikan itu betul, dan plot yang ingin direka dapat diketengahkan secara meyakinkan dengan penggunaan istilah-istilah yang sesuai. Ini menjadikan jalan cerita tersebut lebih menarik bagi pembaca.
Dari segi struktur bahasa pula, saya tertarik kepada cara Puan Maria sebagai penulis menulis cerita ini. Ada kalanya, dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, kadang-kadang penulis buku secara umumnya akan terlupa tentang aspek ini dan menggunakan struktur ayat dan bahasa yang lebih kompleks. Ini pasti akan menjejas keupayaan pembaca untuk memahami jalan ceritanya. Namun, hal ini tidaklah berlaku bagi buku ‘Sahabat Hebat: Rahsia Haiwan Hibrid’ kerana penulis peka terhadap penguasaan bahasa kanak-kanak Melayu di Singapura. Saya suka cara penulis menggunakan dialog-dialog dalam setiap bab untuk cuba menyentuh perasaan watak-watak dalam cerita ini. Selain itu, saya juga kagum dengan cara penulis menulis buku ini dengan menggunakan variasi ayat yang tidaklah terlalu asas, namun tetap tidak terlalu kompleks agar menarik dan mudah difahami pembaca.
Terakhir sekali, saya gemar dengan kualiti grafik yang wujud dalam buku ini. Pembaca sasaran bagi buku ‘Sahabat Hebat: Rahsia Haiwan Hibrid’ mempunyai daya tarikan yang kuat terhadap elemen-elemen visual, lantas dengan gambar-gambar dan warna yang digunakan, saya yakin buku ini dapat menambat hati pembaca dan mendorong mereka untuk membacanya tanpa perasaan bosan. Secara jujurnya, walaupun saya seorang pembaca dewasa, aspek inilah yang menjadi salah satu sebab mengapa saya terus tertarik untuk membaca buku ini dalam bentuk e-buku. Saya sebenarnya tidak pernah membaca apa-apa buku dalam bentuk e-buku sebelum ini kerana saya sangat bergantung kepada buku dalam bentuk fizikalnya Namun, saya mampu membaca e-buku ini secara penuh tanpa perlu henti-henti.
Akhir kata, “Bak angin, sesuatu yang kita tidak boleh lihat atau tidak pernah nampak, tidak semestinya tidak wujud.” Begitulah dengan semangat anak-anak muda kita untuk mempelajari dan mendalami bahasa Melayu; walaupun tidak dapat dilihat dengan jelas, tidak semestinya tidak wujud. Mungkin sahaja ia perlu dijelmakan dengan cara yang sesuai, dan saya yakin penghasilan buku-buku berkualiti seperti buku ‘Sahabat Hebat: Rahsia Haiwan Hibrid’ merupakan antara cara-cara yang boleh mendekatkan anak-anak muda kita kepada keindahan bahasa Melayu.
Tahniah Puan Maria atas penghasilan sebuah buku yang berkualiti! Saya tidak sabar untuk melihat bagaimana buku ini boleh dimanfaatkan untuk pembacaan umum kanak-kanak, atau sebagai bahan bacaan di dalam kelas.
Reviu #3: Shaheda Salim, guru sekolah rendah dan penerima Anugerah AGAB 2021