Ungu Pen mencari manuskrip baharu FIKSYEN REMAJA 2 dengan tema cerita lucu dalam kehidupan norma baharu untuk pembaca 11 hingga 16 tahun ke atas.

APA YANG KAMI INGINKAN

  • Manuskrip dalam 300-800 patah perkataan.
  • Ditulis dalam Bahasa Melayu standard.
  • Perlu menarik minat remaja Singapura 11 tahun ke atas, lelaki dan perempuan, berlatarbelakang konteks Singapura dengan tarikan universal.
  • Rekaan semata-mata namun anda boleh kreatif dengan menyelitkan fakta atau unsur-unsur suspens, fantasi, realisme, pengembaraan dan sebagainya yang dapat menarik minat membaca dalam bahasa Melayu di kalangan remaja. Yang penting ada sedikit kelucuan/ jenaka di sebalik pengajaran murni. Ia perlu menghiburkan.
  • Watak utama adalah remaja.
  • Alur cerita anda boleh disulamkan dengan tema-tema seperti Pemikiran Kritis (Critical Thinking), Menyelesaikan Masalah (Problem-Solving), Membuat Keputusan (Decision Making), Resa Diri Untuk Membuat Sesuatu Pertimbangan (Sense-Making), Pemikiran Silang-Disiplin (Trans-Disciplinary Thinking), Penyesuaian (Adaptability), Kecekapan Digital (Digital Fluency), Perspektif Global (Global Perspective), Ketangkasan Pembelajaran (Learning Agility) & Pengurusan Diri (Self-Management).
  • Cereka perlu asli. Belum pernah diterbitkan di mana-mana platform-alam maya, akhbar atau mana-mana penerbitan.
  • Cerita tidak diciplak. Kami mengambil serius sekiranya anda menciplak hak milik orang lain.
  • Di akhir setiap cerita, anda akan memilih perkataan dari cerita anda sebagai glosari.

6 perkataan dan maksudnya
Gelapkan (Bold) perkataan tersebut dalam cerita anda.

  • Dibuka kepada rakyat dan penduduk Singapura, tiada had umur.

 

APA YANG KAMI TIDAK MAHU

  • Cerita yang kami tidak mahu ialah cerita mengenai sihir, mistik, pembunuhan diri, perkauman, LGBTQ++. Big No! No! At this time. Namun, kami terbuka sekiranya cerita anda ada unsur spekulatif atau imaginasi dalam lingkungan yang kami rasa munasabah dan bersesuaian.
  • Karangan pelajar. Sekiranya karangan tersebut menunjukkan idea yang mantap, kompleks, menarik dan mempunyai unsur-unsur lucu tetapi ada teladan, kami boleh pertimbangkan.

 

PANDUAN MENGHANTAR MANUSKRIP

  • Manuskrip ada harus ditulis di dalam Microsoft Word Format (JANGAN PDF) mengikut panduan kami di bawah ATAU gunakan Template-2022 kami.
  • Anda boleh hantar lebih dari 1 cerita.

 

DI MANA ANDA HARUS HANTARKAN

Emel kepada info@ungupen.com dengan kepala emel: FIKSYEN REMAJA 2  

TARIKH LUPUT

  • 31 Mei 2022 – Sudah dilanjutkan
  • Kami akan maklum kepada anda dalam masa 3-6 bulan sekiranya manuskrip anda diterima untuk diterbitkan. Kami akan menghubungi anda sekiranya kami ada pertanyaan tentang manuskrip anda. Sebelum diterbitkan, kami akan memberi anda kontrak perjanjian untuk penerbitan.
  • Kami mohon maaf kerana kami tidak dapat melayan pertanyaan mengenai manuskrip yang tidak diterima.

 

APA YANG ANDA AKAN TERIMA

  • Senaskah buku percuma untuk satu cerita yang diterbitkan.
  • Diskaun untuk pembelian selanjutnya untuk buku yang mengandungi tulisan anda.
  • Royalti bersih yang akan dikongsi dengan penulis lain dalam buku yang sama – perincian hanya akan dikongsi sekiranya cerita anda diterima.
  • Jika anda tidak berada di Singapura, kos penghantaran buku harus dibiayai oleh anda.

 

APA YANG ANDA TIDAK AKAN DAPAT

  • Anda tidak akan menjadi kaya-raya atau popular dengan sekelip mata, mohon uruskan jangkaan anda.

 

BONUS APA YANG AKAN ANDA DAPAT

  • Kemungkinan anda akan diundang untuk berkongsi pengalaman anda sebagai penulis daripada pihak sekolah, pihak media atau mana-mana pihak.
  • Anda boleh menggunakan buku sebagai bahan bengkel sekiranya anda seorang pendidik, pelatih, aktivis remaja dan sebagainya. Namun, naskhah tersebut tidak boleh disalin atau dicetak rompak. Sila beli buku untuk pelajar anda supaya kami dapat menerbitkan lebih banyak karya lagi. 

 

NASIHAT MUTAKKHIR

  • Sekiranya anda tidak mendapat berita daripada kami lebih dari enam bulan, ini mungkin bermakna yang kami tidak berminat untuk menerbitkan cerita anda buat masa ini. Ungu Pen tidak akan bertanggungjawab untuk memulangkan manuskrip yang dihantar menerusi emel. Anda harus menyimpan salinan manuskrip anda sendiri. Anda boleh menghantar ke pihak lain sekiranya kami tidak menerbitkan manuskrip anda.
  • Sekiranya anda minat menulis, tajamkan pena anda dengan menulis kandungan yang bermutu dan bersesuaian di media sosial. Kami amat mengalu-alukan mereka yang aktif di media sosial sebagai usaha mengembangkan Bahasa Melayu di kalangan generasi akan datang.
  • Walaupun cerita ada mengandungi ciri-ciri pengajaran atau nilai murni, pendekatannya tidak boleh didaktik. Remaja tidak suka mendengar leteran atau syarahan dalam cerita.
  • Kami berbesar hati untuk membaca manuskrip anda.

 

CIRI-CIRI CERITA PENDEK

Walaupun namanya ialah Fiksyen Kilat, Fiksyen Mikro, Certot atau Cerpen, ia tidak bermakna cerita anda tidak mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Watak (character)
  • Latar (setting)
  • Konflik (conflict)
  • Alur Cerita (plot)
  • Tema (theme)

 

Cerita pendek yang baik hanya merangkumi secebis sahaja kehidupan watak utama – selalunya satu babak atau insiden yang harus diselesaikan. Tidak perlu mempunyai latar cerita (backstory) yang tidak akan membantu dalam insiden atau babak tersebut.

Oleh kerana kami memerlukan anda menulis dengan padat; konservatif dengan jumlah perkataan yang digunakan – makanya anda harus mulakan masalah/konflik watak utama dari awal lagi.

Untuk membuatkan alur cerita anda menarik, selitkan unsur “the rule of 3” sebelum watak utama tersebut menyelesaikan masalahnya atau menerima keredhaan dengan keadaannya. Ada banyak penulisan tentang “the rule of 3 in good story writing” yang anda boleh dapat dari internet.

Pengakhiran cerita harus memuaskan dan anda boleh tersenyum memikirkannya.

Baca dan edit kembali cerita anda. Sekiranya cerita anda melebihi had perkataan, ayat-ayat berbunga yang boleh dipendekkan, pendekkan. Yang mana boleh dibuang tanpa menjejas jalan cerita, sila buang.

Harap panduan di atas ini membantu.